Thursday, April 2, 2009

Menyatukan 3 kelompok Ahli Bioperubatan melalui Persatuan

Semasa di tahun 1, mungkin sebahagian daripada kita beranggapan bahawa kerjaya sebagai graduan bioperubatan hanya sebagai Pegawai Sains di hospital-hospital kerajaan atau swasta. Tetapi segelintir yang lain sedar bahawa banyak peluang kerjaya yang lain. Maka, apakah peluang yang wujud? Terdapat 3 kelompok utama sebagai ahli bioperubatan.


AHLI KLINIKAL

Pegawai sains di hospital-hospital kerajaan atau swasta di bawah kelompok ini. Ahli klinikal mengendalikan makmal-makmal diagnostik di hospital seperti makmal mikrobiologi, biokimia, histology, kaji darah, bank darah dan lain-lain. Tanggungjawabnya besar bagi memastikan diagnosis yang tepat dan apakah diagnosis lanjutan atau rawatan yang sesuai bagi sesuatu kes.
Pra-siswazah lazimnya ditempatkan di hospital kerajaan atau swasta ketika latihan praktikal.

Malangnya, tidak ramai pun dari kalangan pelajar yang ditempatkan di makmal-makmal diagnostik hospital. Mungkin ini menjadi sebab bahawa khabar angin turun temurun mengatakan graduan bioperubatan tiada kerja. Lagipun ramai antara graduan yang tidak mahu menunggu sehingga beberapa tahun untuk dipanggil oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Bagi yang pernah menjalani latihan praktikal atau sedang bekerja di makmal-makmal hospital mungkin sedar bahawa jikapun mendapat tempat sebagai pegawai sains, kenaikan pangkat dan gaji sukar dicapai. Mengapa? Apakah kenaikan pangkat tertinggi dalam sektor kerajaan? Sedangkan Ketua Jabatan bagi makmal-makmal pun kebanyakannya dimonopoli oleh doktor (MBBS). Jadi bagaimanakah seorang ahli bioperubatan dapat merangka prospek kerjaya di masa hadapan.

Jawatan Pegawai Sains Bioperubatan sudah pun wujud di beberapa hospital. Tetapi, perkara ini perlu diteliti dan menjadi peranan semua graduan bioperubatan untuk menggilap profesyen ini. Apa yang penting adalah menjadikan jawatan ini sebagai aset utama pentadbiran hospital. Maka ahli klinikal inilah yang perlu bersatu untuk menyuarakan bagaimana mahu ditempatkan bakal-bakal ahli bioperubatan di jawatan yang sepatutnya. Ini bermaksud, jika doktor, jururawat dan beberapa ahli sains kesihatan yang lain dapat melaksanakan ‘internship’, maka mungkin bakal ahli bioperubatan juga dapat diusahakan demikian.

AHLI AKADEMIK

Sehingga kini, pensyarah atau pengajar di universiti, kolej universiti atau kolej kesihatan menjadi pilihan utama bagi graduan-graduan bioperubatan. Mengapa? Kerana tidak mahu menunggu jawatan kosong melalui JPA mungkin. Gaji? Sudah tentu sebagai ahli akademik dan ahli klinikal mementingkan kenaikan pangkat. Ini juga perlu dengan pencapaian akademik seseorang itu. Jika tidak menyambung ijazah lanjutan sehingga mendapat doktor falsfah (PhD), tidak mungkin seseorang mendapat kenaikan pangkat.

Tetapi, tidak juga. Ada segelintir yang berhasrat untuk hidup dalam dunia penyelidikan. Maka mana mungkin pensyarah bioperubatan yang tidak menjalankan penyelidikan. Sesetengah pula memang berminat untuk meneruskan kajian penyelidikan kerana tiada seorang pun di kalangan graduan bioperubatan yang tidak pernah menjalankan penyelidikan.

Walaupun begitu, adakah graduan bioperubatan hanya layak untuk menjadi seorang ahli akademik sahaja kerana ramai yang memilih peluang ini? Mungkin satu survei boleh dibuat tentang mengapa ramai yang memilih kerjaya sebagai ahli akademik dan apakah pencapaian ahli akademik sekarang. Dengan ini, barulah kita jelas keperluan sebenar ahli bioperubatan itu.

AHLI INDUSTRI

Bagi yang tidak berminat untuk bekerja di sektor hospital dan akademik, kerjaya di industri berkaitan dengan bioperubatan sangat luas. Mungkin segelintir tidak berminat untuk berkecimpung dalam bidang perniagaan, mungkin ada yang berminat salah seorang ahli industri. Bagi yang ingin mencapai kekayaan dalam hidup, bidang industri bioperubatan adalah medannya.

Tetapi, graduan bioperubatan tidak pun didedahkan mengenai perniagaan. Walhal, ada juga yang sudah membuka syarikat sendiri dan paling tidak pun berada dalam pengurusan tertinggi syarikat. Menjadi seorang ahli industri, berbagai-bagai peluang yang diperolehi. Gaji? Kita tentukan sendiri kerana di bidang industri prestasi adalah perkara penting. Jika prestasi diri tinggi, maka kenaikan gaji, bonus atau pelbagai elaun boleh dikecapi.

Walaupun ahli industri boleh dikatakan ahli bioperubatan yang terkaya berbanding ahli klinikal dan ahli akademik, hubungan antara ketiga-tiga kelompok ini perlu erat. Kerana setiap kelompok saling memerlukan.

Justeru, melalui persatuan semua kelompok ahli bioperubatan ini boleh disatukan.

  • Ahli klinikal memerlukan ahli akademik untuk membina insan bioperubatan dan ahli industri untuk membekalkan bahan-bahan makmal.
  • Ahli akademik memerlukan ahli klinikal untuk perkongisan idea tentang teknik-teknik makmal terkini dan memerlukan ahli industri sebagai penaja utama dalam program-program yang dijalankan.
  • Ahli industri memerlukan ahli klinikal untuk mengetahui keperluan terkini dalam makmal dan ahli akademik untuk membimbing pelapis yang akan menerajui syarikat mereka.
Akhirnya, jika ketiga-tiga kelompok ini dapat disatukan, apa sebenarnya yang ahli bioperubatan peroleh? KUASA. Apa perlunya kuasa pula? Kita lihat persatuan yang paling berpengaruh di Malaysia iaini CUEPACS. Satu contoh sahaja sudah cukup untuk kita lihat bagaimana kongres ini dapat menekan para pemimpin dan sesiapa sahaja untuk memenuhi permintaan mereka walaupun tidak semua dipenuhi. Dengan itu, mungkinkah ahli bioperubatan juga akan berkuasa seperti CUEPACS?

Cakap sahaja mahu apa. Mahu kenaikan gaji? Mahu kenaikan pangkat? Mahu mewujudkan Akta Sains Kesihatan? Mahu segalanya? PERSATUAN ITU ADALAH SUARA

~Ilmu memimpin~
www.bioperubatan.blogspot.com

4 comments:

Kuro Syamito October 28, 2009 at 8:16 AM  

thnx for the info!

Anonymous March 31, 2011 at 12:24 PM  

realized or not most of the talented biomedical scientists from local universities went to other countries to work. Most of Biomedical Science students are bright students yet the country is loosing the talent because they concentrate more on doctors. We produce good students yet other countries took them.

Unknown March 26, 2013 at 7:38 PM  

Senaraikan universiti yang ade bioperubatan boleh x?

Unknown January 6, 2014 at 3:14 AM  

Sya nak tahu senarai Universiti yg tawarkan course ni jgk..

  © Free Blogger Templates Spain by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP