Thursday, February 5, 2009

Kejuruteraan Tisu melalui Perspektif Sains Bioperubatan

Kejuruteraan tisu merupakan satu bidang baru yang telah berkembang kira-kira 10 tahun yang lalu, ia melibatkan gabungan prinsip-prinsip teknologi kejuruteraan dan sains hayat ke arah pembangunan gantian biologi yang memberikan keutamaan dalam memperbaharui, mengekalkan, atau memperbaiki fungsi tisu atau sesuatu organ tubuh. Pendekatan kejuruteraan tisu dalam bidang perubatan diperkenalkan atas alasan, fenomena jangka masa menunggu yang lama untuk pesakit mendapatkan penderma dan juga kekurangan penderma organ atau tisu. Gantian tisu bagi tujuan regenerasi kulit telah menunjukkan pencapaian yang cemerlang pada pesakit yang mengalami masalah atau kecederaan tisu kulit. Namun begitu, banyak cabaran masa hadapan yang perlu dilalui di samping banyak kajian lanjut perlu dilakukan lagi dalam semua aspek kejuruteraan tisu

Sains bioperubatan merupakan bidang yang memberi tumpuan terhadap penyelidikan perubatan dan aplikasi pengetahuan biologi serta teknik dalam aspek peningkatan mutu kesihatan. Keadaan ini menarik perhatian banyak pihak dalam pembiayaan penyelidikan terhadap sesuatu kajian dalam aspek kesihatan lebin-lebih lagi keupayaan bidang sains bioperubatan terhadap pemahaman, diagnosis, rawatan dan pencegahan penyakit yang amat memberangsangkan. Perubatan genetik merupakan satu bidang bioteknologi yang berasaskan genomik iaitu kajian terhadap gen dan fungsinya terhadap kesihatan dan penyakit. Aplikasi pengetahuan khususnya dalam bidang biologi, kimia, fisiologi, patologi dan fizik seterusnya dapat membantu modifikasi terhadap gen spesifik yang boleh menghalang kewujudan sesuatu penyakit yang berbahaya seperti kanser.

Kepakaran dalam bidang genomik, proteomik, kajian terhadap mekanisma molekular dan biobahan khususnya menunjukkan perkembangan yang pesat dalam aspek bioperubatan. Sains bioperubatan boleh dikatakan sebagai satu cabang ilmu yang telah diaplikasi dan dimodifikasikan dalam bidang kejuruteraan tisu demi mencapai matlamatnya dalam bidang perubatan moden kini.

Read more...

KERJAYA DALAM BIDANG SAINS BIOPERUBATAN

‘Bidang Sains Bioperubatan adalah bidang yang berteraskan Sains Kesihatan dan menyiapkan individu sehingga membolehkannya berfungsi sebagai salah satu anggota pasukan yang turut terdiri daripada doktor perubatan dan teknologis yang bekerjasama untuk menghasilkan keputusan yang diperlukan untuk menilai sesuatu penyakit dan keberkesanan rawatan yang diberikan. Selain mahir menggunakan peralatan makmal, seseorang graduan Sains Bioperubatan juga boleh mengurus makmal diagnostik, perniagaan dan perindustrian.’
(Panduan Prasiswazah, FSKB (UKM), 2004)

Petikan di atas adalah merujuk kepada kerjaya sebenar bagi seorang graduan Sains Bioperubatan iaitu sebagai Pegawai Sains atau Pegawai Penyelidik yang boleh bekerja di sektor awam dan swasta seperti di hospital, universiti, institut penyelidikan seperti IMR & FRIM, makmal kesihatan awam, private laboratory seperti BP Healthcare, Pathlab Healthcare dan BP Clinical Lab dan sebagainya. Ini kerana para graduannya telah didedahkan kepada pelbagai ilmu pengetahuan seperti Anatomi, Fisiologi, Entomologi Perubatan, Parasitologi Perubatan, Mikrobiologi, Patologi, Genetik, Biokimia, Farmakologi, Imnunologi dan lain-lain.

Walaubagaimanapun, kerjaya dalam bidang ini tidak hanya terhad kepada dua jenis kerjaya tersebut. Berbeza dengan program lain seperti program Optometri atau program Audiologi, Sains Bioperubatan adalah satu bidang yang luas iaitu ia tidak memfokus kepada satu disiplin sahaja. Ini memudahkan para graduannya untuk bekerja di pelbagai sektor yang memerlukan kepakaran dan khidmat mereka. Antara kerjaya yang boleh diceburi adalah seperti berikut:

  1. Pegawai R&D di KIST, Masterskill atau IPTS yang lain (dalam pembangunan kurikulum / silibus Sains Kesihatan.
  2. Pembantu penyelidik di universiti (yang berhasrat untuk menyambung pelajaran dalam master by research)
  3. Tutor/pensyarah di kolej PTPL, KIST, Masterskill, Mahsa atau IPTS yang lain
  4. Underwriter di Prudential, Great Eastern
  5. Eksekutif pemasaran (peralatan makmal) di syarikat-syarikat pembekal peralatan makmal
  6. Journalist, Utusan Melayu Malaysia Berhad
  7. Tutor di universiti awam (yang mempunyai PNGK yang baik)

Namun tidak dinafikan, persaingan dalam pasaran kerja amatlah mencabar. Oleh itu, para bakal graduan hendaklah melengkapkan diri mereka dengan sebaik mungkin dalam pelbagai aspek bukan sahaja dalam ilmu pengetahuan malah kemahiran berkomunikasi, penguasaan Bahasa Inggeris, penampilan diri yang baik dan keyakinan diri yang tinggi haruslah diberi perhatian.

Read more...

  © Free Blogger Templates Spain by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP