Thursday, February 5, 2009

Kejuruteraan Tisu melalui Perspektif Sains Bioperubatan

Kejuruteraan tisu merupakan satu bidang baru yang telah berkembang kira-kira 10 tahun yang lalu, ia melibatkan gabungan prinsip-prinsip teknologi kejuruteraan dan sains hayat ke arah pembangunan gantian biologi yang memberikan keutamaan dalam memperbaharui, mengekalkan, atau memperbaiki fungsi tisu atau sesuatu organ tubuh. Pendekatan kejuruteraan tisu dalam bidang perubatan diperkenalkan atas alasan, fenomena jangka masa menunggu yang lama untuk pesakit mendapatkan penderma dan juga kekurangan penderma organ atau tisu. Gantian tisu bagi tujuan regenerasi kulit telah menunjukkan pencapaian yang cemerlang pada pesakit yang mengalami masalah atau kecederaan tisu kulit. Namun begitu, banyak cabaran masa hadapan yang perlu dilalui di samping banyak kajian lanjut perlu dilakukan lagi dalam semua aspek kejuruteraan tisu

Sains bioperubatan merupakan bidang yang memberi tumpuan terhadap penyelidikan perubatan dan aplikasi pengetahuan biologi serta teknik dalam aspek peningkatan mutu kesihatan. Keadaan ini menarik perhatian banyak pihak dalam pembiayaan penyelidikan terhadap sesuatu kajian dalam aspek kesihatan lebin-lebih lagi keupayaan bidang sains bioperubatan terhadap pemahaman, diagnosis, rawatan dan pencegahan penyakit yang amat memberangsangkan. Perubatan genetik merupakan satu bidang bioteknologi yang berasaskan genomik iaitu kajian terhadap gen dan fungsinya terhadap kesihatan dan penyakit. Aplikasi pengetahuan khususnya dalam bidang biologi, kimia, fisiologi, patologi dan fizik seterusnya dapat membantu modifikasi terhadap gen spesifik yang boleh menghalang kewujudan sesuatu penyakit yang berbahaya seperti kanser.

Kepakaran dalam bidang genomik, proteomik, kajian terhadap mekanisma molekular dan biobahan khususnya menunjukkan perkembangan yang pesat dalam aspek bioperubatan. Sains bioperubatan boleh dikatakan sebagai satu cabang ilmu yang telah diaplikasi dan dimodifikasikan dalam bidang kejuruteraan tisu demi mencapai matlamatnya dalam bidang perubatan moden kini.

1 comments:

sheffie July 12, 2012 at 9:43 PM  

Saya akan ke UM untuk cos kejuruteraan bioperubatan bulan 9 ni .Jadi ingin minta info sikit berkenaan peluang pekerjaan dan subjek2 yang akan dipelajari nanti.. harap sangat maklumat =D

  © Free Blogger Templates Spain by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP