Thursday, April 2, 2009

Menyatukan 3 kelompok Ahli Bioperubatan melalui Persatuan

Semasa di tahun 1, mungkin sebahagian daripada kita beranggapan bahawa kerjaya sebagai graduan bioperubatan hanya sebagai Pegawai Sains di hospital-hospital kerajaan atau swasta. Tetapi segelintir yang lain sedar bahawa banyak peluang kerjaya yang lain. Maka, apakah peluang yang wujud? Terdapat 3 kelompok utama sebagai ahli bioperubatan.


AHLI KLINIKAL

Pegawai sains di hospital-hospital kerajaan atau swasta di bawah kelompok ini. Ahli klinikal mengendalikan makmal-makmal diagnostik di hospital seperti makmal mikrobiologi, biokimia, histology, kaji darah, bank darah dan lain-lain. Tanggungjawabnya besar bagi memastikan diagnosis yang tepat dan apakah diagnosis lanjutan atau rawatan yang sesuai bagi sesuatu kes.
Pra-siswazah lazimnya ditempatkan di hospital kerajaan atau swasta ketika latihan praktikal.

Malangnya, tidak ramai pun dari kalangan pelajar yang ditempatkan di makmal-makmal diagnostik hospital. Mungkin ini menjadi sebab bahawa khabar angin turun temurun mengatakan graduan bioperubatan tiada kerja. Lagipun ramai antara graduan yang tidak mahu menunggu sehingga beberapa tahun untuk dipanggil oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Bagi yang pernah menjalani latihan praktikal atau sedang bekerja di makmal-makmal hospital mungkin sedar bahawa jikapun mendapat tempat sebagai pegawai sains, kenaikan pangkat dan gaji sukar dicapai. Mengapa? Apakah kenaikan pangkat tertinggi dalam sektor kerajaan? Sedangkan Ketua Jabatan bagi makmal-makmal pun kebanyakannya dimonopoli oleh doktor (MBBS). Jadi bagaimanakah seorang ahli bioperubatan dapat merangka prospek kerjaya di masa hadapan.

Jawatan Pegawai Sains Bioperubatan sudah pun wujud di beberapa hospital. Tetapi, perkara ini perlu diteliti dan menjadi peranan semua graduan bioperubatan untuk menggilap profesyen ini. Apa yang penting adalah menjadikan jawatan ini sebagai aset utama pentadbiran hospital. Maka ahli klinikal inilah yang perlu bersatu untuk menyuarakan bagaimana mahu ditempatkan bakal-bakal ahli bioperubatan di jawatan yang sepatutnya. Ini bermaksud, jika doktor, jururawat dan beberapa ahli sains kesihatan yang lain dapat melaksanakan ‘internship’, maka mungkin bakal ahli bioperubatan juga dapat diusahakan demikian.

AHLI AKADEMIK

Sehingga kini, pensyarah atau pengajar di universiti, kolej universiti atau kolej kesihatan menjadi pilihan utama bagi graduan-graduan bioperubatan. Mengapa? Kerana tidak mahu menunggu jawatan kosong melalui JPA mungkin. Gaji? Sudah tentu sebagai ahli akademik dan ahli klinikal mementingkan kenaikan pangkat. Ini juga perlu dengan pencapaian akademik seseorang itu. Jika tidak menyambung ijazah lanjutan sehingga mendapat doktor falsfah (PhD), tidak mungkin seseorang mendapat kenaikan pangkat.

Tetapi, tidak juga. Ada segelintir yang berhasrat untuk hidup dalam dunia penyelidikan. Maka mana mungkin pensyarah bioperubatan yang tidak menjalankan penyelidikan. Sesetengah pula memang berminat untuk meneruskan kajian penyelidikan kerana tiada seorang pun di kalangan graduan bioperubatan yang tidak pernah menjalankan penyelidikan.

Walaupun begitu, adakah graduan bioperubatan hanya layak untuk menjadi seorang ahli akademik sahaja kerana ramai yang memilih peluang ini? Mungkin satu survei boleh dibuat tentang mengapa ramai yang memilih kerjaya sebagai ahli akademik dan apakah pencapaian ahli akademik sekarang. Dengan ini, barulah kita jelas keperluan sebenar ahli bioperubatan itu.

AHLI INDUSTRI

Bagi yang tidak berminat untuk bekerja di sektor hospital dan akademik, kerjaya di industri berkaitan dengan bioperubatan sangat luas. Mungkin segelintir tidak berminat untuk berkecimpung dalam bidang perniagaan, mungkin ada yang berminat salah seorang ahli industri. Bagi yang ingin mencapai kekayaan dalam hidup, bidang industri bioperubatan adalah medannya.

Tetapi, graduan bioperubatan tidak pun didedahkan mengenai perniagaan. Walhal, ada juga yang sudah membuka syarikat sendiri dan paling tidak pun berada dalam pengurusan tertinggi syarikat. Menjadi seorang ahli industri, berbagai-bagai peluang yang diperolehi. Gaji? Kita tentukan sendiri kerana di bidang industri prestasi adalah perkara penting. Jika prestasi diri tinggi, maka kenaikan gaji, bonus atau pelbagai elaun boleh dikecapi.

Walaupun ahli industri boleh dikatakan ahli bioperubatan yang terkaya berbanding ahli klinikal dan ahli akademik, hubungan antara ketiga-tiga kelompok ini perlu erat. Kerana setiap kelompok saling memerlukan.

Justeru, melalui persatuan semua kelompok ahli bioperubatan ini boleh disatukan.

  • Ahli klinikal memerlukan ahli akademik untuk membina insan bioperubatan dan ahli industri untuk membekalkan bahan-bahan makmal.
  • Ahli akademik memerlukan ahli klinikal untuk perkongisan idea tentang teknik-teknik makmal terkini dan memerlukan ahli industri sebagai penaja utama dalam program-program yang dijalankan.
  • Ahli industri memerlukan ahli klinikal untuk mengetahui keperluan terkini dalam makmal dan ahli akademik untuk membimbing pelapis yang akan menerajui syarikat mereka.
Akhirnya, jika ketiga-tiga kelompok ini dapat disatukan, apa sebenarnya yang ahli bioperubatan peroleh? KUASA. Apa perlunya kuasa pula? Kita lihat persatuan yang paling berpengaruh di Malaysia iaini CUEPACS. Satu contoh sahaja sudah cukup untuk kita lihat bagaimana kongres ini dapat menekan para pemimpin dan sesiapa sahaja untuk memenuhi permintaan mereka walaupun tidak semua dipenuhi. Dengan itu, mungkinkah ahli bioperubatan juga akan berkuasa seperti CUEPACS?

Cakap sahaja mahu apa. Mahu kenaikan gaji? Mahu kenaikan pangkat? Mahu mewujudkan Akta Sains Kesihatan? Mahu segalanya? PERSATUAN ITU ADALAH SUARA

~Ilmu memimpin~
www.bioperubatan.blogspot.com

Read more...

SIMPOSIUM SAINS BIOPERUBATAN UKM 2009


Pada 21 mac 2009 yang lalu, Sekretriat Akademik dengan kerjasama Sekretriat Hal Ehwal Luar dan Alumni Kelab Sains Bioperubatan UKM telah menganjurkan satu program yang bercorak akademik iaitu Simposium Sains Bioperubatan UKM 2009 (SSB UKM). Program tersebut bertempat di UKM , Kampus Kuala Lumpur.

Antara objektif penganjuran program ini ialah untuk :

a) Melatih mahasiswa/i UKM untuk tampil lebih yakin dan berketrampilan dalam komunikasi.
b) Menggalakkan pembangunan sahsiah dan komunikasi secara berkesan.
c) Merapatkan hubungan di kalangan mahasiswa/I UKM dalam berorganisasi supaya kecemerlangan dalam akademik adalah seimbang dengan penglibatan mereka dengan aktiviti-aktiviti luar.

Tidak seperti tahun yang sebelumnya, simposium kali ini diadakan hanya satu hari sahaja dan melibatkan penyertaan peserta-peserta dari universiti-universiti lain juga seperti Universiti Putra Malaysia(UPM) , Universiti Malaya (UM) dan juga Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Seramai 7 orang peserta dari UM, 27 orang peserta dari UPM dan 38 orang peserta dari UIAM telah menghadiri simposium ini. Banyak pengisian yang menarik yang telah diadakan oleh organisasi simposium pada tahun ini. Diantaranya adalah pertandingan pembentangan tesis oleh plajar-pelajar tahun akhir Sains Bioperubatan UKM,sesi ceramah bersama pensyarah Jabatan Sains Bioperubatan iaitu Prof. Madya Dr.Rohi Ghazali dan perjumpaan Bioperubatan IPTA.

Pertandingan Pembentangan Tesis bermula tepat jam 08.30 pagi, memperlihatkan persaingan di antara 14 orang peserta pertandingan dengan tajuk tesis yang menarik dan boleh diketengahkan.Pertandingan ini disertai oleh pelajar dari UKM sahaja. Di antara tajuk-tajuk tesis yang dipertandingkan ialah ‘Kerentanan acanthamoeba spp yang dipencilkan daripada specimen klinikal dan persekitaran terhadap antimicrobial titisan mata’ , ‘Pengkulturan Sel Anulus Fibrosus 3 sel nucleus pulposus bagi pembentukan intervertebral disk (IVD) dengan kejuteraan tisu’ , “Pengesanan aktiviti agen antibakteria melalui ekstrak peptide dan ekstrak air Rafflesia Cantleyi Solm-Caubach dan banyak lagi.
Pertandingan ini tamat pada pukul 11.45 pagi. Majlis terus berlangsung dengan perasmian dan penyampaian hadiah oleh Dekan Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu (FSKB), Prof.D r Norhani Mohidin. Pemenang bagi pertandingan pembentangan tesis ialah Shirley Tan Gee Hoon yang memenangi tempat pertama,manakala tempat kedua disandang oleh Manira binti Maarof dan tempat ketiga dimiliki oleh Saw Chee Wei.

Seusai tamat pertandingan, majlis perasmian berlangsung. Simposium Sains Bioperubatan UKM 2009 ini telah dirasmikan oleh Dekan Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu iaitu Prof. Dr. Norhani Mohidin. Dalam ucapannya, beliau telah memberi semangat kepada mahasiswa/I untuk terus memperkembang kemahiran ‘soft skill’ dalam diri agar kebolehpasaran graduan Sains Bioperubatan adalah tinggi serta mampu bersaing dengan mana-mana jurusan sains dalam mendapat tempat dalam bidang masing-masing. Majlis diserikan dengan tayangan multimedia, penyampaian hadiah kepada para pemenang Pertandingan Pembentangan Tesis, dan cenderamata kepada para juri pertandingan.

Program SSB UKM berhenti sementara untuk rehat,makan tengah hari dan solat Zuhur. Pada waktu ini, mahasiswa/I UPM dan UIA dibawa melawat sekitar UKM kampus KL oleh Exco Perhubungan SSB UKM.

Pada pukul 2.00 petang, program diteruskan lagi dengan mesyuarat Kelab Sains Bioperubatan yang dihadiri oleh wakil-wakil dari UKM,UPM,UM,dan UIAM. Tidak ketinggalan juga wakil Persatuan Sains Bioperubatan Se-Malaysia (PSBSM) iaitu Setiausaha Agung PSBSM,Cik Hafizah Ariff turut mengambil inisiatif untuk menghadiri mesyuarat tersebut. Mesyuarat tersebut berlangsung di Dewan Kuliah 4, UKM KL. Mesyuarat ini bertujuan untuk membincangkan mengenai usaha-sama di antara universiti.
Mesyuarat dimulakan dengan pertunjukkan ‘slide’ organisasi Kelab Sains Bioperubatan UKM sesi 2009. Kemudian diteruskan dengan ucapan dari wakil Persatuan Sains Bioperubatan Malaysia, Mohd Jauhari, pelajar tahun Empat Sains Bioperubatan, UKM. Dalam ucapannya, beliau menyatakan graduan Sains Bioperubatan boleh mnceburi bidang klinikal, industri dan perkhidmatan. Beliau turut menegaskan bahawa hubungan erat antara universiti dan agensi luar memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha mengenengahkan Sains Bioperubatan secara amnya dan potensi pelajar tersebut secara khususnya. Banyak cara yang boleh digunakan untuk merapatkan hubungan dengan mengadakan kerjasama dalam merangka program dan juga boleh melibatkankan diri dalam program yang dianjurkan oleh agensi luar yang berkaitan. Beliau turut menyatakan kepentingan Persatuan Sains Bioperubatan Malaysia. Selain mengumpulkan Alumni Sains Bioperubatan , ia turut berperanan untuk menjaga kebajikan graduan Sains Bioperubatan dan juga memberi maklumat serta galakan kepada bakal graduan.


Perjumpaan tersebut turut diserikan dengan ucapan dari Setiausaha Agung Persatuan Sains Bioperubatan Malaysia, Cik Hafizah Ariff. Beliau turut menyatakan pandangan yang sama mengenai kepentingan Persatuan Sains Bioperubatan malah turut berbangga atas usaha yang dilakukan untuk mengumpulkan Kelab-kelab Sains Bioperubatan dari universiti-universiti yang berlainan dan duduk berbincang dalam merancang aktiviti bersama. Perjumpaan diteruskan dengan menjemput Presiden Kelab Bioperubatan universiti masing-masing untuk mengutarakan pendapat dan cadangan masing-masing dalam merancakkan lagi hubungan antara mahasiswa/I Bioperubatan dengan merancang aktiviti usahasama yang bakal dijalankan. Perkara yang dibincangkan adalah mengenai perancangan program yang melibatkan penglibatan semua universiti secara langsung. Banyak idea bernas dicadangkan, antaranya ialah Hari Kerjaya, Hari Intravarsiti, Simposium Sains Bioperubatan, Jambori , dan Kem Kepimpinan Bersama.
Setelah pendapat demi pendapat diutarakan untuk setiap perancangan, kesemua wakil telah sepakat ingin mengadakan Simposium dan Hari Kerjaya Sains Bioperubatan sebagai langkah awal usahasama interuniversiti dan UPM telah dipilih menjadi tuan rumah untuk program tersebut pada tahun hadapan. Kemudian akan disusuli oleh UIAM,UM dan akhir sekali UKM sebagai tuan rumah.

Serentak pada masa yang sama, peserta-peserta yang tidak terlibat dengan Perjumpaan Bioperubatan IPTA pula dijemput untuk menghadiri satu ceramah yang bertajuk ‘Hala Tuju Graduan Sains Bioperubatan’ yang disampaikan oleh pensyarah dari Jabatan Sains Bioperubatan UKM iaitu PM Dr Ahmad Rohi Ghazali. Melihat kepada respon para peserta, ceramah tersebut sangat menarik dan banyak informasi boleh diperolehi menerusi sesi soal jawab di akhir ceramah. Program di akhiri dengan jamuan ringan dan sesi bergambar bersama peserta universiti lain.

Diharap dengan adanya program sebegini dapat mengeratkan hubungan di antara pelajar-pelajar Sains Bioperubatan walaupun berlainan tempat menuntut ilmu.Selain itu, melalui program ini dapat membuka mata para peserta mengenai Sains Bioperubatan dan masa depan Sains Bioperubatan. Semoga semua usaha-sama yang telah dirancang dan dibincangkan semasa mesyuarat menjadi kenyataan dan mampu menjadi satu wadah dalam usaha memartabatkan profesion Sains Bioperubatan serta membuka satu jalan ke arah kecemerlangan bersama. Terima kasih daun keladi diucapkan kepada semua peserta dari IPTA lain iaitu UM,UIAM, dan UPM . Kehadiran anda semua telah memeriahkan lagi program Simposium Sains Bioperubatan UKM 2009 ini. Tidak lupa juga kepada organisasi dan peserta dari UKM. Jasa anda amat dihargai. Semoga berjumpa lagi pada program yang akan datang, Simposium dan Hari Kerjaya Sains Bioperubatan.


Mahasiswa-mahasiswi Sains Bioperubatan UKM, UM, UIA, dan UPM

~Salam Ukhwah~.

Disediakan oleh,
Nur Nadia Mohd Sori
Exco Hal Ehwal Luar dan Alumni KSB UKM

Read more...

  © Free Blogger Templates Spain by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP