Friday, December 26, 2008

Bioperubatan nadi sains hayat


TAHUKAH anda, jika tiada saintis dalam bidang bioperubatan, doktor mungkin tidak boleh berfungsi. Ini kerana, di tangan saintis-saintis bioperubatan inilah sesuatu penyakit boleh dikenal pasti.

Malah di tangan saintis bioperubatan ini jugalah terletaknya keputusan jenis-jenis rawatan sesuai yang perlu diberikan kepada seseorang pesakit. Contoh terbaru ialah penyakit Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS).

Hanya setelah lebih 160 kematian di seluruh dunia, barulah dapat diketahui bahawa penyakit itu berpunca daripada sejenis virus iaitu Coronavirus.

Mereka yang bertungkus lumus menjalankan kajian siang malam untuk mengenal pasti apakah jenis virus ini ialah saintis bioperubtan.

Malah di tangan saintis-saintis bioperubatan ini jugalah kita perlu bergantung harapan untuk mencari penawar atau vaksin yang boleh membunuh coronavirus.

Begitu juga dengan virus-virus pembunuh yang lain seperti HIV, Tibi, meningitis, virus Nipah dan sebagainya.

Secara mudah dan ringkas, tanpa sains bioperubatan, sesuatu penyakit tidak mungkin dapat dikenal pasti atau diubati (diagnos).

Saintis dalam bidang ini mungkin tidak sepopular pakar-pakar perubatan atau doktor, tetapi mereka sebenarnya memainkan peranan penting untuk menjalankan kajian dan penyelidikan ke atas sampel-sampel tisu dan juga cecair-cecair dalam badan.

Walaupun kebanyakan uji kaji yang dijalankan ini adalah satu rutin bagi saintis-saintis ini, ada juga antara kajian-kajian yang dijalankan itu melibatkan satu cabaran tugas yang berat dan memerlukan peralatan-peralatan yang canggih dan terkini.

Uji kaji dan penyelidikan ini mestilah tepat dan memerlukan kemahiran yang tinggi daripada saintis ini kerana nyawa bergantung kepada keputusan penyelidikan yang dilakukan.

Sebenarnya bioperubatan ini merangkumi satu bidang sains yang luas dan boleh dibahagikan kepada:

  • Mikrobiologi
  • Haematologi
  • Pemindahan darah
  • Biokimia klinikal
  • Histopatologi
  • Sitologi

Mikrobiologi

Bidang mikrobiologi bergantung kepada pengesanan, isolasi dan juga pengenalpastian mikroorganisma yang menyebabkan penyakit kepada manusia.

Di dalam makmal-makmal mikrobiologi, pelbagai bahagian badan manusia sama ada tisu badan atau pun cecair badan boleh diselidik.

Tisu-tisu badan ini diinokulasi (inoculated) menjadi media kultur untuk membolehkan pertumbuhan organisma selepas diinkubasi (incubation).

Informasi ini akan diberikan kepada doktor yang akan membuat keputusan mengenai kaedah yang sesuai untuk seseorang pesakit.

Sementara itu, di makmal ini juga terdapat bahagian alam sekitar yang mana saintisnya membuat kajian ke atas sampel-sampel najis, makanan dan air jika terdapat organisma yang menyebabkan keracunan makanan.

Analisis semen pula dikaji untuk mengenal pasti ketidaksuburan (infertility) manakala seksyen immunologi pula melibatkan kajian ke atas kehadiran antigen dan/atau antibodi dalam sampel darah akibat jangkitan organisma atau penyakit seperti Rubella atau HIV.

Haematologi

Haematologi melibatkan kajian morfologi dan juga fisiologi darah menggunakan alat-alat tertentu untuk mengira sel darah dan juga tahap haemoglobin yang mana ini akan membantu mengdiagnos dan juga merawat penyakit aneamia.

Sebagai contohnya, sel darah putih dikenal pasti dan diklasifikasikan untuk membantu mendiagnos penyakit leukimia.

Satu lagi bidang penting dalam haematologi ialah kajian mengenai ketidaknormalan pembekuan darah.

Pemindahan darah

Makmal pemindahan darah menyediakan darah kepada pesakit-pesakit yang memerlukan.

Saintis bioperubatan dalam bidang ini memainkan peranan menentukan jenis-jenis darah dan juga ujian kesesuaian penderma darah dengan pesakit yang akan menerima darah berkenaan.

Mereka juga terlibat dengan ujian-ujian khusus untuk menyelesaikan masalah-masalah pengkelasan darah, persediaan darah-darah yang berlainan dan juga penghasilan tisu-tisu yang sesuai dengan darah serta penghasilan komponen-komponen darah dan juga plasma.

Biokimia klinikal

Bidang ini berkaitan kajian kimia dan juga mekanisme biokimia badan dan kaitannya dengan sesuatu penyakit.

Bidang ini mewujudkan hubungan antara perubatan dan juga asas sains. Bidang ini memerlukan mereka yang pakar menganalisa dan juga kemahiran interaktif untuk membantu mencegah mengdiagnos dan juga merawat sesuatu penyakit.

Biokimia klinikal ini antara lain membuat pemantauan terhadap penyakit-penyakit seperti diabetis, keseimbangan cecair badan dan penyakit tiroid.

Makmal-makmal biokimia klinikal juga menyediakan perkhidmatan pengimbasan (screening) seperti pengimbasan prakelahiran.

Histopatologi

Ia adalah satu bidang yang melibatkan kajian ke atas organ dan tisu yang dikeluarkan daripada pesakit untuk mendiagnos dan juga memberikan informasi lanjut mengenai rawatan yang seharusnya dilakukan.

Sitologi

Ia adalah bidang kajian ke atas sel. Melihatkan betapa luasnya skop bidang bioperutan ini, tidak salah jika kita katakan, tanpa saintis dalam bidang bioperubatan, doktor atau pakar perubatan sekali pun tidak mungkin dapat berfungsi seperti mana sepatutnya.

Laman web rujukan:
www.ibms.org
www.bscp.org
www.biochem.arizona.edu

Sumber: Estidotmy

0 comments:

  © Free Blogger Templates Spain by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP